Sunday, December 14, 2008

My Papa is a celebrity today! :-P

My colleague, Ham*zah Abdul Ham*id, wrote this article for today's Kosm*o! Ahad..


RENCANA UTAMA

Khabar dari tebing runtuhan

Pemandangan hijau yang dibanggakan selama ini sudah bertukar menjadi pandangan bumbung-bumbung rumah dan kondominium yang semakin rancak dibangunkan.


SOBREY mengharapkan semua pihak bertindak secara proaktif.


'MAAF, kami umpama pelarian," pelawa tuan rumah sambil mengemas letak atur beg-beg berisi pakaian dan dokumen penting di laluan masuk. Sebelum bertanya lanjut tentang barang-barang tersebut, topik perbualan sengaja dimulakan dengan imbasan kisah lalu.

Ingatannya kuat pada pandangan bukit yang tenang dan hijau. Dia juga masih ingat pada kunjungan saudara-mara dan teman taulan yang memuji betapa bertuah si tuan rumah dapat memiliki kediaman menghadap keindahan alam semula jadi.

Bagi Sobrey Jaafar, 59, keputusan untuk melabur sejumlah kira-kira RM200,000 untuk sebuah rumah teres di Wangsa Ukay, Bukit Antarabangsa, 20 tahun lalu, adalah impian yang dibina bersama keluarganya. Pelaburan yang semahunya dibiar menjadi milik mereka selama boleh.

"Kami berpindah dari Taman TAR, Ampang Jaya kerana mahukan persekitaran yang lebih tenteram dan selamat selain menghargai budaya yang terbit daripada kejiranan di kalangan golongan profesional.

"Penduduk di sini mewakili kelompok masyarakat moden. Kemudahan asas penduduk seperti bekalan air, elektrik dan keperluan lain juga memuaskan lantaran diuruskan dengan baik," terangnya yang memberitahu nilai asetnya itu tahun lalu sudah mencecah harga sekurang-kurangnya setengah juta ringgit.


PANDANGAN ngeri dari tempat punca runtuhan di Jalan Wangsa 9, Wangsa Ukay. Kediaman Sobrey sekeluarga hanya kira-kira 200 meter dari tebing ini.


Kata Sobrey, dahulu rumah itu tidak perlu dipasang sistem hawa dingin, kerana udara sudah cukup nyaman dan dingin pada waktu malam. Apakah lagi yang diingati?

"Harmoni. Itulah yang kami paling ingat," celah isterinya, Nazlee Ismail, yang merujuk kepada kemesraan hubungan antara jiran tanpa mengira bangsa dan agama.

"Dulu kami memang sengaja memilih pandangan yang menghadap bukit bukau berbanding hartanah yang menghadap kota raya Kuala Lumpur. Tapi, lihat sekarang ke luar sana," katanya lantas membuang pandangan melepasi halaman rumahnya.

"Pemandangan hijau yang kami banggakan itu kini menjadi pandangan bumbung-bumbung rumah dan kondominium yang semakin rancak dibangunkan saban tahun," sambung bapa kepada dua orang anak ini.


RUNTUHAN kecil di laluan Jalan Wangsa 1 ini juga antara petanda yang perlukan penyelenggaraan profesional.


Pembangunan konkrit itu lama-kelamaan menghakis kenangan yang mereka kumpulkan sejak mendudukinya pada tahun 1988. Di sebalik nada tenang pasangan suami isteri ini, masih dapat ditangkap sekilas bibit khuatir mengenai rentetan kejadian tanah runtuh pada dinihari 6 Disember lalu.

"Kami tidak merasakan apa-apa semasa tanah itu runtuh. Sebaliknya mendapat tahu pada siangnya apabila menerima panggilan saudara yang tinggal di kawasan bawah bukit. Ketika itu, helikopter sudah berlegar-legar di ruang udara," imbas Sobrey.

Tragedi yang mengorbankan lima nyawa itu seolah-olah menjelaskan keanehan yang dilihat dengan matanya sendiri pada dua hari sebelumnya. Sobrey teringat pada kawanan beruk dan monyet yang tiba-tiba muncul berkeliaran merapati kawasan perumahannya, seperti hendak lari dari kawasan hutan di lereng bukit itu.

"Bukan tidak pernah melihat kelibat monyet dan beruk di sini, tetapi saya hairan bilangannya lebih banyak daripada biasa. Mungkin itu suatu petanda," katanya.

Mungkin ketika ramai menghulur belas dan berduka dengan nasib mangsa di kalangan penghuni 14 buah banglo yang ranap di tapak runtuhan, kita terlupa pada keluh-kesah penghuni rumah di atas bukit Wangsa Ukay ini. Kehidupan mereka, secara falsafah dan fizikalnya, berada di tebing curam.


PENGHUNI di deretan rumah di Jalan Wangsa 9, di belakang kediaman Sobrey sudah diarahkan untuk berpindah demi keselamatan mereka.


Kediaman Sobrey misalnya, walaupun bukan dalam 'zon merah' yang diarahkan untuk mengosongkan premis, kedudukannya adalah kira-kira 200 meter dari punca runtuhan. Deretan rumah di Jalan Wangsa 9, iaitu betul-betul di belakang rumahnya sudah pun dikosongkan.

"Kami diberitahu bahawa deretan rumah di Jalan Wangsa 7 ini tidak terjejas. Struktur tanah kami masih kukuh dengan batu. Moga ia kekal begitu," ujar pesara ini yang telah meninggalkan portfolio besar dalam agensi berita negara, Bernama.

Sobrey yang pernah bertugas membuat liputan tragedi kondominium Highland Towers yang tumbang pada tahun 1993, walau bagaimanapun mengakui bahawa kejadian seumpama itu bukan asing di Bukit Antarabangsa.

Kes-kes runtuhan kecil, katanya, sudah beberapa kali berlaku. Cuma runtuhan tanah Sabtu lalu, menggusarkan dia sekeluarga.

"Itulah yang dikesalkan. Setiap kali terjadi perkara seperti ini, arahan menghentikan projek di kawasan bukit dikeluarkan kerajaan. Namun, larangan itu dilupakan juga akhirnya," luah bapa kepada dua anak ini.

Menurutnya, ada tiga sebab mengapa tragedi ini berlaku. Pertama adalah kelemahan penyelenggaraan. Kedua adalah kekurangan pengurusan teknikal, manakala yang ketiga adalah sikap 'tidak apa'.


BEG-BEG berisi barangan keperluan dan dokumen penting sudah siap diletakkan di muka pintu.


Dia melahirkan kemusykilannya terhadap pihak yang meluluskan projek-projek di sekitar kawasan Bukit Antarabangsa yang tidak serius untuk merujuk kepada pakar penyelenggaraan cerun bukit.

Bagi yang mampu berfikir dengan waras, memang letih kalau hal seperti ini berakhir dengan drama menuding jari, bercakap soal sifat tamak manusia dan keengganan pihak-pihak tertentu mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan. Pokok pangkalnya adalah penguatkuasaan.

"Lagi satu, konsep pengurusan krisis kita sering kali silap. Ia sepatutnya dilaksanakan untuk menghindarkan krisis daripada berlaku. Bukannya bertindak sesudah sesuatu krisis atau bencana sudah terjadi," tegasnya yang mahukan semua pihak lebih proaktif menangani isu tersebut.

Bukan berfikir negatif atau tidak menghormati perasaan Sobrey sekeluarga. Namun, soalan ini akhirnya telah disuakan juga kepadanya - adakah sudah bersedia untuk meninggalkan rumah itu seandainya keadaan tidak menyebelahi mereka nanti?

"Bukan soal mahu pindah atau tidak. Kita ikut apa yang perlu dibuat. Di mana-mana pun kita percaya pada ketentuan Tuhan. Di bukit boleh berlaku tanah runtuh, di kawasan rendah pula boleh terjadi bencana banjir, dan di kawasan rata juga boleh dilanda puting beliung. Iklim dan cuaca juga sudah tidak dapat diduga.

"Kalau diikutkan hati, kami masih mahu terus tinggal di sini. Walau bagaimanapun, beg-beg sudah di depan pintu itu. Jika berlaku apa-apa, kami akan capai dan pergi," ujarnya yang akan terus terkenangkan betapa kejiranan itu dua dekad lalu begitu damai dan menghijau.

3 comments:

Anonymous said...

macam kenal je veteran ni..ape2 pn aku tmpg simpati..kalau ade rezeki, pindah la anne..sgt bahye keadaan ye..

Cik Puan Bidadari said...

Man,kalau ada rezeki and arahan utk berpndah, kenalah pindah...tapi setakat ini, tiada lagi kata putus...kalau ikut mulut mmg la senang nak pindah, tapi pd hakikatnya susah sebab itulah yang kita panggil rumah.

Anonymous said...

Ya Allah sudah besar betul you sekarang. And adik you Jo pun tentulah sudah remaja juga. Jo kan namanya? Saya junior kepada ayah Cik Bidadari ketika di BERNAMA dulu dan masih mengingati Cik Bidadari dan Jo yang sering singgah di BERNAMA. Apa yang ingat you dan adik you semsa kecil begitu kemas berpakaian (kan ?) nampak bersih dan tidak berkejaran ke sana sini seperti kanak-kanak lain. Semoga sukses dalam kehidupan dan sentiasalah mengingati jasa ayah dan ibu (Nazlee).

EXB