anyway, kat bawah ni article saya yg keluar arini...bikin malu je gambar kuar sekali..terpaksa jadi model coz aritu tak ramai orang and the photog had to leave early...ni baru kat sini, kalau kat paper tu...mak aii...lagi lah malu! *blush*
RENCANA UTAMA
Bagai mencari harta karun
Anda mungkin akan menemui buku berusia lebih daripada 10 tahun yang sebelum ini mungkin sukar untuk anda peroleh.
"SEBUAH buku bukan sekadar teman, tetapi ia berkawan dengan anda. Apabila anda memiliki sebuah buku, minda dan jiwa anda akan diperkayakan. Tetapi apabila anda berkongsinya, diri anda diperkayakan sebanyak tiga kali ganda." - Henry Miller, Penulis dan Pelukis Amerika.
Dalam dunia teknologi yang pesat berkembang kini, memiliki ilmu merupakan antara kelebihan yang harus dimiliki oleh setiap individu, baik si kecil mahupun warga emas.
Antara langkah yang boleh diambil agar kita mampu terus bersaing dengan masyarakat lain adalah dengan memiliki keupayaan dan tabiat membaca yang disemai sejak kecil lagi.
Jika tidak, minat yang berterusan terhadap buku dan tabiat membaca akan hilang.
Merujuk sebuah siaran akhbar, dari tahun 1970 hingga sekarang, kadar celik huruf dalam kalangan orang dewasa meningkat daripada 60 peratus kepada 94 peratus.
Malah, organisasi pendidikan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut meletakkan Malaysia sebagai model celik huruf dan kadar persekolahan yang tinggi di dunia, walaupun bukan yang tertinggi.
Walaupun demikian, purata bilangan rakyat Malaysia membaca bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan.
Setiap kali membincangkan mengenai tabiat membaca di negara ini, perasaan hiba akan melanda kerana seperti ramai ketahui secara purata rakyat Malaysia tidak gemar membaca.
Menurut perangkaan yang dibuat oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 1996, purata membaca setiap orang rakyat negara ini hanyalah dua buah buku setahun.
Malah satu kajian yang dilakukan oleh PNM pada tahun 2005 mendapati tidak ada peningkatan terhadap jumlah tersebut.
Pada bulan November lalu, dalam sebuah siaran akhbar tempatan baru-baru ini, bekas Timbalan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Wong Kam Hoong yang memetik sebuah kajian telah mendedahkan bahawa rakyat Malaysia menghabiskan satu pertiga masa lapang mereka dengan menonton televisyen.
Sehubungan itu, Pengurus Pemasaran dan Promosi Pay Less Books, Kylie Lo, berkata, Pay Less Books ditubuhkan untuk memberi peluang kepada komuniti menimba ilmu dengan buku terpakai berkualiti pada harga yang murah.
"Pay Less Books diwujudkan hampir tujuh tahun lalu dan menjual buku-buku terpakai berbahasa Inggeris pada harga yang berpatutan iaitu 50 peratus daripada harga biasa.
"Mengiringi aspirasi kerajaan dalam menggalakkan rakyat negara ini untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa tersebut, kami ingin menarik lebih ramai individu membaca,"katanya.
Memberikan contoh harga jualan buku di kedainya, Kylie berkata : "Di kedai-kedai buku biasa, harga buku berkulit lembut atau paperback adalah sekitar RM39.90 senaskhah, tetapi di sini, ia dijual pada harga antara RM7.90 dan RM18.90 senaskhah."
Difahamkan Pay Less Books yang juga ahli Persatuan Penjual Buku Malaysia merupakan rangkaian buku terpakai yang terbesar di negara ini.
Bermula dengan pusat jualan di beberapa lokasi utama, Pay Less Books kini mengambil pendekatan pemasaran berbeza dengan mengehadkan kedainya kepada dua buah di Selangor iaitu seluas 372 meter persegi di pusat beli-belah Ampang Point di Ampang dan 186 meter persegi di One Utama, Damansara Utama.
Sejak tahun 2003, Pay Less Books Ampang Point merupakan satu-satunya kedai buku syarikat tersebut yang menyediakan seksyen untuk buku kanak-kanak.
"Kami ingin memberi tumpuan penjualan buku di pesta-pesta buku dan jualan gudang kerana di situlah tarikan besar orang ramai terhadap bekalan buku yang ditawarkan.
"Manakan tidak, semasa di pesta-pesta buku dan jualan gudang, harga buku yang dijual adalah 70 peratus lebih murah daripada yang dijual di kedai-kedai kami di Ampang Point mahupun One Utama," kata beliau sambil tersenyum.
Tambah wanita ini lagi, sebahagian besar jualan gudang itu diadakan di beberapa lokasi strategik di Lembah Klang dan tidak mengejutkan sekiranya pelanggan melihat ada di antara buku hanya berharga beberapa sen dan ringgit sahaja.
"Contoh yang boleh saya berikan ialah orang ramai berpeluang memiliki lima buku paperback pada harga RM12 sahaja."
Pay Less Books merupakan sebuah syarikat Malaysia yang dikendalikan oleh Golden Era Trading Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Puchong, Selangor.
Melihat rak-rak buku yang sentiasa penuh, tidak dapat dielakkan perasaan tertanya-tanya penulis tentang bagaimanakah syarikat ini mendapat bekalan buku-bukunya?
"Sebahagian besar buku-buku yang kami sediakan adalah yang diimport dari Amerika Syarikat (AS). Ada juga yang dibeli daripada pelanggan.
"Tetapi bahan bacaaan yang dibeli pada harga RM2.50 sekilogram itu hanyalah buku-buku fiksyen berkulit nipis," umum Kylie lagi.
Dengan ribuan buku yang ada, difahamkan bekalan buku yang ada cukup untuk pasaran tiga tahun.
"Kami menjual beberapa ribu buku dan majalah setiap bulan dan mempunyai pelanggan tetap kerana keunikan buku-buku yang ditawarkan."
Daripada buku biasa hinggalah buku-buku terlaris dan yang telah memenangi anugerah, Pay Less Books mempunyai kira-kira 30 kategori buku yang ditawarkan kepada orang ramai.
Ia termasuk buku-buku fiksyen, kisah cinta, sains fiksyen, fantasi, motivasi, perniagaan, hubungan, kesihatan, keibubapaan, kerohanian, masakan, kanak-kanak dan remaja, kesusasteraan dan klasik, buku teks sekolah, kamus, majalah dan pelbagai lagi.
"Hampir semua genre buku dan majalah yang diingini ada di sini. Kami cuba sebaik mungkin memenuhi kategori buku yang menjadi keperluan atau kegemaran ramai," jelas Kylie yang memaklumkan bahawa pihaknya juga menyediakan buku-buku antik dan jarang ditemui seperti yang berusia lebih 100 tahun.
Sehubungan itu, disebabkan ia sukar didapati dan diperoleh, buku-buku itu tidaklah semurah seperti buku lain.
Katanya lagi, sungguhpun buku-buku itu adalah buku terpakai, namun pihaknya sentiasa memastikan bahawa ia berada dalam keadaan yang baik sebelum dijual kepada orang ramai.
"Harga buku bergantung pada jenis dan keadaan buku tersebut. Buku-buku profesional dan motivasi berharga lebih tinggi berbanding buku fiksyen dan kanak-kanak.
"Ada kalanya buku yang mempunyai judul yang sama mempunyai harga yang berbeza kerana keadaan buku itu sendiri," jelas Kylie yang memaklumkan tarikan kedai buku itu adalah daripada segenap lapisan usia dan masyarakat.
Bagaimanakah Pay Less Books bersaing dengan kedai-kedai buku yang lain?
Tersenyum lebar, Kylie dengan tenang menjawab : "Buku-buku terbaru yang ada di sini adalah yang berusia sekurang-kurangnya setahun.
"Oleh itu, ia tidak bersaing antara satu sama lain. Kami sebenarnya seperti membantu kedai-kedai buku utama kerana mereka menjual buku-buku terbaru dan kami yang lebih lama. Ia bagai situasi menang-menang antara semua pihak."
Sekiranya anda sering kali mencari judul-judul buku lama, terdapat kemungkinan bahawa anda boleh menemuinya di sini.
"Pay Less Books menyediakan satu atau dua judul pada satu masa dan sekiranya anda datang ke sini, ia umpama satu pencarian harta karun.
"Jika bernasib baik, anda akan mendapat buku-buku yang dicari sekian lama," kata Kylie yang mendedahkan sedikit rahsia bahawa kebanyakan stok buku diperbaharui pada setiap hari Khamis.
Tidak ketinggalan dalam persaingan jualan buku dan menekankan perkhidmatan kepada pelanggan, mulai September 2005, syarikat ini telah menawarkan pembelian buku secara online di talian www.www.paylessbooks.com.my.
"Lebih 4,000 judul buku terhangat yang ditawarkan secara online dan ia biasanya tidak ditemui di kedai-kedai kami," ujar Kylie yang turut memaklumkan bahawa pihaknya turut membekal buku ke kedai-kedai buku terpakai dan perpustakaan sekolah.
Maklumat terbaru mengenai aktiviti-aktiviti berkaitan Pay Less Books boleh didapati dengan mendaftar secara percuma di laman webnya.
"Pay Less Books membuka ruang kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai buku terpakai yang masih dalam keadaan yang baik pada harga yang mampu dimiliki.
"Dengan ini, kegembiraan dan kepuasan membaca dapat dikongsi oleh setiap lapisan masyarakat dan usia," kata Kylie menamatkan bicara.
4 comments:
huhu..tempat lepak dikala lunchtime.
dan saya mahu update! :P
glamer makk nyah.. masuk paper! hihi
oh tak sabo nak pergi shooting masukkan lengan dalam paper jugak hehehehehe.
I love Pay Less Books especially sebab dapat beli buku at gila murah prices. Since i am not perticular about the book being the latest, I always find something to buy. Kids' books pun banyak. But now i have another alternative - free - the National Library, hehehe! Just turun lift a few floors down dah boleh pinjam buku.
p.s. I heard there's good news that has mede your dad want to lelong his fishing rods :P Betul ke???
Post a Comment